Pengikut

atas

Selasa, 31 Mei 2011

Manusia istidraj (lupa daratan) dihina Allah



MUNGKIN ramai di kalangan kita tidak memahami istilah “istidraj”. Istilah ini berasal daripada bahasa Arab dan diambil daripada perkataan darajatun iaitu tangga.


Berdasarkan maksud sebenar, istidraj merupakan kelebihan atau keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia dalam pelbagai bentuk seperti dikehendaki-Nya.


Bagaimanapun anugerah Allah itu bukan disebabkan Allah menyayangi mereka tetapi lebih merupakan tanda kebencian Allah terhadap golongan berkenaan.


Dengan kata lain, Allah mahu mereka menjadi lebih sesat melalui kelebihan itu dan akhirnya tergolong di kalangan kaum yang tidak mendapat hidayah-Nya.


Ada juga pihak yang mentakrifkan istidraj sebagai anugerah Allah kepada hamba yang tidak diredai-Nya dan nikmat tersebut datang dalam pelbagai bentuk antaranya kuasa, kemewahan harta benda, kedudukan di sisi masyarakat, pengaruh serta pangkat.


Persoalannya, adakah mereka yang diberikan kemewahan dunia dianggap manusia istidraj? Begitu juga yang diberikan kuasa dan pengaruh. Adakah mereka yang berpangkat besar dianggap istidraj?


Jawapannya, tidak sama sekali. Istidraj hanya untuk golongan yang derhaka kepada Allah. Sebaliknya mereka yang menggunakan kelebihan sama ada kuasa, kemewahan, pengaruh dan pangkat ke jalan Allah, pasti beroleh kejayaan di dunia serta akhirat.


Lihat sahaja para sahabat Rasulullah SAW. Ada di antara mereka diberikan kekayaan yang melimpah ruah antaranya, Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman dan Abdul Rahman Auf.


Mereka semua dianggap golongan berada. Siapa tidak kenal Abu Bakar yang juga merupakan khalifah Islam pertama dan seorang usahawan berjaya.


Ketika mudanya beliau berjaya mengumpulkan 40,000 dirham iaitu hasil daripada perniagaannya tetapi tidak pernah leka dengan kekayaan itu.


Semasa menjadi khalifah Islam pertama, Abu Bakar tidak pernah sekalipun menggunakan kuasanya sebagai pemimpin untuk kepentingan diri atau keluarganya kerana beliau amat takut dengan azab Allah.


Abu Bakar merupakan pemimpin hebat yang tidak ada tolok bandingnya dan meninggal dunia dalam keadaan beliau membelanjakan segala hartanya ke jalan Allah.


Berbalik kepada istidraj, manusia derhaka adalah mereka yang tidak mahu menunaikan suruhan Allah dan sering melanggar larangan-Nya.


Mereka enggan menunaikan kewajipan sebagai hamba dan lebih malang, gemar memperlecehkan hukum agama. Mereka juga cenderung melakukan maksiat dan menzalimi orang lain.


Golongan ini akan jauh daripada hidayah Allah. Mereka langsung tidak patuh dengan suruhan Allah.

Mereka enggan bersolat dan mereka terlalu sayangkan harta hingga mengingkari suruhan menunaikan zakat walaupun mereka diberikan pelbagai bentuk kemewahan.


Mereka diberikan segala kenikmatan tetapi tidak pernah bersyukur dengan nikmat. Golongan ini sanggup menindas dan mengambil kesempatan ke atas orang lain demi kepentingan sendiri. Mereka tamak dan tidak pernah mensyukuri nikmat.

Rasullullah SAW pernah bersabda: “Apabila kamu melihat Allah Taala memberi nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed, terdapat tiga tanda manusia istidraj iaitu sering memperlecehkan ibadat, penasihat di sekelilingnya bukan di kalangan golongan berilmu (dunia semata-mata) dan tidak mempedulikan nasihat yang baik.


Beliau berkata, amat malang apabila golongan yang diberikan kuasa, kemewahan, pengaruh serta pangkat ini lupa bahawa kesemua nikmat tersebut adalah pemberian Allah dan merupakan “pinjaman”.


Mereka hanyut dengan nikmat yang diberikan hingga pada satu peringkat menjadi angkuh dan bangga dengan kelebihan tersebut. Nikmat itu gagal menjadikan mereka lebih tawaduk dan bertaqwa.


“Mereka langsung tidak nampak segala nikmat yang mereka peroleh itu datangnya daripada Allah. Manusia seperti ini (istidraj) tidak akan sedar nikmat itu sebenarnya tanda kebencian Allah terhadap mereka.


“Mereka juga tidak sedar bahawa segala nikmat dan kelebihan itu boleh ditarik pada bila-bila masa,” katanya.

Firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 182 yang bermaksud: “Dan orang yang mendustakan ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak ketahui.”

Satu lagi Firman Allah iaitu dalam surah Al-An’am ayat 44 yang bermaksud: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).”


Zahazan berkata, kedua-dua ayat di atas merupakan peringatan Allah kepada manusia istidraj bahawa mereka tidak akan selama-lamanya berada di puncak.


“Dalam surah Al-A’raaf ayat 182 tafsir Ibn Kathir ada menyatakan manusia istidraj akan menaiki tangga dan akhirnya sampai ke tangga paling akhir.

“Apabila berada pada kedudukan itu mereka masih mahu menaiki satu lagi anak tangga tetapi malangnya mereka akan jatuh kerana tiada lagi anak tangga selepas itu ,” kata Zahazan merujuk kepada ketamakan golongan istidraj.

Dalam pada itu katanya, kecenderungan berlakunya istidraj di kalangan manusia tetap ada hinggalah ke hari ini. Mereka adalah dalam kalangan mereka yang mendapat penyakit ghurur (tipu daya).

Manusia seperti ini kata Zahazan, mudah lupa daratan dan menganggap kuasa, kemewahan, pengaruh dan pangkat sebagai lambang kekuasaan.


“Mereka mengenepikan Allah daripada segala segi dan golongan itu melebihkan kemewahan dunia,” tegasnya.

Contoh manusia istidraj ialah Firaun, Haman, Qarun, Namrud dan Abu Jahal. Kesemua mereka diberikan kelebihan, kenikmatan dan kemewahan tetapi mereka mengingkari Allah.



Akhirnya, mereka dibinasakan oleh Allah dan mati dalam keadaan yang amat hina.

Justeru beliau meminta masyarakat Islam terutama di kalangan mereka yang diberikan kuasa, kemewahan, pengaruh dan pangkat supaya bersikap lebih tawaduk.


“Ingatlah semua pemberian tersebut adalah bersifat sementara kerana tiada apa yang kekal di dunia ini dan ingatlah Allah berkuasa menarik segala-galanya dalam sekelip mata,” katanya lagi.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.
rencana@utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan