Pengikut

atas

Ahad, 30 Oktober 2011

Gaddafi dijulang dan dibuang

Gaddafi dijulang dan dibuang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM & SYALMIZI HAMID


KHAMIS lalu, pemimpin Libya yang digeruni selama 40 tahun oleh Barat, Muammar Gaddafi, 69, diheret keluar dari sebuah saluran pembetung di sebatang lebuh raya enam lorong di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi. Dia ditangkap oleh sekumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Kemudian, dalam video yang dirakam oleh seorang pejuang NTC, Gaddafi kelihatan cedera dan keliru apabila ditarik dari atas sebuah kenderaan dengan beberapa orang merentap rambutnya untuk menjatuhkan tubuhnya ke tanah.
Dalam tempoh sejam selepas diseksa, dia didapati sudah tidak bernyawa lagi.
Kisah kematiannya masih menjadi satu misteri. Bagaimanapun, keperibadian tokoh itu dianggap lebih eksentrik.
Musuh
Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirte pada tahun 1942, Gaddafi seperti kanak-kanak lain mendapat pendidikan di sekolah Islam.
Beliau mempelajari asas-asas ketenteraan apabila memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961. Kekecewaan terhadap kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mula menanam ideologi tersendiri.
Impian pegawai tentera muda itu ketika itu ialah mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan selain menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris I.
Bersemangat bersama sekumpulan pegawai tentera muda, Gaddafi berjaya merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang mendapat rawatan di Turki dan membentuk Republik Arab Libya pada 1 September 1969.
Inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam mendapat pujian ramai apatah lagi ia diadaptasikan melalui buku bertajuk The Green Book yang dihasilkan Gaddafi pada tahun 1975.
Cetusan ideanya dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh ketat selain membentuk Republik Arab Libya cukup memikat.
Malah, ia menjadi satu ideologi unik yang berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak sebelum itu.
Gaddafi juga pernah menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen Penyatuan Afrika.

DI benua Afrika, Gaddafi ibarat seorang raja.

“Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika,” beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.
Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar ‘Raja Segala Raja’ di Afrika.
Salah satu sumbangan terbesar Gaddafi kepada negaranya ialah usahanya membina ‘sungai buatan’ bertujuan menyalurkan air bawah tanah ke seluruh negara Libya yang tandus itu. Malah bagi rakyat Libya, projek yang dikenali sebagai Great Man-Made River Project itu merupakan Keajaiban Kelapan Dunia.

Pembaharuan
Gaddafi menggunakan kepintaran dan kekayaan negara itu untuk mengairi kawasan tandus berkenaan.
Bagi mengatasi masalah mendapatkan air bersih buat seluruh warga Libya, pembinaan paip air gergasi itu dimulakan pada Ogos 1984 di Brega.
Libya tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk membina projek besar itu. Tetapi atas kekayaan hasil minyak, Gaddafi menjemput kepakaran luar untuk membantunya termasuklah dari Korea Selatan, Turki, Jerman, Filipina dan Britain.
Pada September 1993, lengkaplah pembinaan fasa pertama projek itu yang bermula dari timur di Sarir dan Tazerbo hinggalah ke Benghazi. Tiga tahun kemudian usaha menyalurkan air dari Tripoli ke barat iaitu di Jebel Hassouna siap.

Menyingkap sejarah lalu, air bawah tanah Libya itu ditemui secara tidak sengaja ketika usaha mencari telaga minyak baharu pada tahun 1953.
Daripada analisis radio karbon, sumber air fosil itu dianggarkan berusia kira-kira 40,000 tahun.
Kini, usaha itu membuahkan hasil apabila kira-kira 1,300 kilometer persegi tanah disalurkan dengan air untuk perladangan. Sebahagian tanaman itu adalah untuk makanan di dalam negara.
Tetapi bagi ladang-ladang besar yang mendapat bekalan air itu, ia ditanam dengan gandum, oat, jagung dan barli. Semua tanaman itu perlu diimport sebelum ini.

DI sebalik sisi eksentriknya, kehadiran Gaddafi begitu dirasai pemimpin dunia lain.
Kini, paip sepanjang 5,000 kilometar (km) itu boleh menyalurkan sebanyak 6.5 juta meter padu air sehari ke lebih 1,000 kawasan padang pasir.
Bagaimanapun, kekejaman Gaddafi semasa berkuasa menyebabkan rakyat Libya menentang beliau. Sejak berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.
Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam kemudian. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.
Malah, kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika.
Tetapi, apabila menerima tekanan dunia berikutan insiden pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, nada keras Kolonel Gaddafi tidak sekuat dahulu terhadap dunia Barat.
Gaddafi mula cenderung kepada sekularisme dan tidak lagi pro-Islamik.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.

TEMBAKAN di dada dan kepala menyebabkan kematian pantas Gaddafi.
Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Gaddafi.
Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.
Kemuncak kepada kemarahan rakyat ialah apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan kerana kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion)
Akhirnya, selepas memerintah Libya lebih empat dekad beliau dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan