1. Fatwa Samahatus Syeikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Ibn Baaz
Soalan 1:
Samahat al-Syeikh, ada yang berpendapat bahawa perbuatan sesetengah pemimpin melakukan maksiat dan dosa besar, mewajibkan kita berusaha untuk menjatuhkannya dan melakukan reformasi walaupun perbuatan akan membawa mudarat kepada orang Islam dalam negeri tersebut. Peristiwa yang dialami oleh Negara-neraga Islam cukup banyak, apa pendapat syeikh?
Jawapan:
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, serta selawat Allah ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, keluarganya dan sahabat-sahabat serta mereka yang mengikuti hidayahnya.
Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman:
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa': 59)
Ayat ini mewajibkan taat kepada pemimpin yang meliputi para umara dam ulama. Dalam satu hadis, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menegaskan bahawa ketaatan ini merupakan sesuatu yang wajib, dan menjadi fardu dalam perkara-perkara yang makruf.
Nas daripada as-Sunnah menerangkan makna dan menyokong ayat tersebut bahawa yang dimaksudkan dengan taat itu ialah ketaatan mereka pada perkara yang makruf. Maka wajib bagi umat Islam taat pada pemimpin mereka dalam perkara yang makruf, dan bukan pada perkara maksiat. Apabila pemimpin menyuruh melakukan maksiat, mereka tidak boleh ditaati, tetapi tidak harus menderhakai atau cuba menggulingkan mereka berdasarkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
Maksudnya: "Barang siapa yang diperintahkan oleh seorang pemerintah, kemudian ia melihatnya melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala, hendaklah ia membenci perkara maksiat tersebut, tetapi tidak boleh mencabut ketaatannya kepada pemimpin tadi." (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: "Barang siapa yang keluar daripada ketaatan, serta berpisah daripada jemaah, lalu ia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah." (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: "Wajib ke atas seseorang itu, dengar dan taat apa yang dia suka ataupun benci, kecuali apabila dia diarah melakukan maksiat. Pada ketika itu tidak perlulah ia dengar dan taat." (Hadis riwayat Muslim)
Para sahabat pernah bertanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, apabila baginda menyebut tentang terdapat segolongan pemerintah yang kamu mendapat kebaikan dan kemungkaran daripada mereka. "Apa yang patut kami lakukan?" Baginda bersabda:
Maksudnya: "Tunaikanlah hak mereka, dan pohonkanlah kepada Allah hak kamu." (Hadis riwayat Bukhari)
Ubadah bin al-Samit berkata: "Kami berbaiah kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk memberi ketaatan dalam keadaan kami suka atau benci, dalam keadaan susah dan senang, kami akan mengutamakan Rasulullah ke atas diri kami sendiri dan kami tidak merampas hak pemerintah." Kemudian Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Kecuali jika kamu dapati kekafiran yang jelas, yang ada dalil dan bukti daripada Allah Ta'ala."
Ini merupakan dalil bahawa tidak harus menderhakai pemerintahan serta cuba menjatuhkan mereka, kecuali jika terhadap kekurufan yang nyata yang terdapat dalil daripada Allah Ta'ala. Ini kerana cubaan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin boleh menyebabkan kerosakan yang besar serta keburukan yang dapat menggugat keamanan serta mengabaikan kewajipan. Pada ketika itu tiada orang dapat menghalang kezaliman dan membantu mereka yang dizalimi, serta keadaan menjadi kacau-bilau dan keamanan tidak lagi wujud.
Oleh itu, cubaan untuk menggulingkan seseorang pemimpin boleh membawa padah yang buruk serta keburukan yang nyata. Kecuali pada ketika umat Islam melihat kekufuran yang nyata, yang ada dalil daripada Allah tentang kekufuran mereka itu. Pada ketika itu haruslah menjatuhkan pemerintah tadi jika mereka mempunyai kekuatan. Tetapi jika mereka tidak mempunyai kekuatan, ataupun perbuatan mereka menjatuhkan pemerintah tadi boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar, maka tidak harus bagi mereka menjatuhkannya demi menjaga maslahah umum, berdasarkan kaedah syarak yang disepakati iaitu: Tidak harus menjatuhkan kejahatan dengan sesuatu yang lebih buruk daripadanya, bahkan mesti menolak keburukan itu dengan sesuatu yang dapat menghapuskannya atau meringankannya. Adapun menolak keburukan dengan keburukan yang lebih besar, maka hal ini tidak harus dengan ijmak (kesepakatan) para ulama.
Jika kumpulan yang melucutkan jawatan pemerintah yang melakukan kekufuran yang nyata itu mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian dan menggantikannya dengan seorang pemerintah yang soleh dan baik tanpa membabitkan sebarang kemusnahan terhadap orang Islam, maka hal itu dibenarkan.
Tetapi jika perbuatan mereka itu mendatangkan kerosakan, menggugat keamanan, menzalimi orang ramai, serta lain-lain keburukan maka perbuatan itu tidak diharuskan. Bahkan mereka diwajibkan bersabar, dengar dan taat di dalam perkara yang makruf. Menasihati pemimpin serta menyeru mereka ke arah kebaikan. Mereka juga mesti berusaha meringankan atau mengurangkan kejahatan tersebut serta memperbanyakkan kebaikan.
Inilah jalan sebenar yang mesti diikuti untuk mendapatkan kemaslahatan bagi umat Islam. Ia juga dapat mengurangkan kejahatan dan menambah kebaikan selain daripada dapat menjaga keamanan dan menyelamatkan orang Islam daripada terjerumus ke dalam keburukan yang lebih besar. Kita pohon taufik dan inayah daripada Allah Ta'ala.
Soalan 2:
Kita telah mengetahui bahawa hakikat ini merupakan asas di dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi yang menyedihkan ialah terdapatnya satu golongan daripada mereka yang mengganggap perkara ini sebagai pemikiran yang lemah serta melambangkan penghinaan kepada Islam, walaupun hal ini telah diperjelaskan. Hasil daripada itu mereka menyeru para pemuda supaya menggunakan kekerasan sebagai cara untuk membuat perubahan. Betulkah begitu?
Jawapan:
Pendapat seperti ini merupakan satu kesilapan serta menandakan kefahaman penuturnya cetek. Ini berlaku kerana mereka tidak memahami al-Sunnah serta tidak mengetahui sebagaimana sepatutnya. Mereka hanya dibuai semangat kosong serta ghairah untuk membuang kemungkaran walaupun mereka tersungkur sebagaimana golongan Khawarij dan Muktazilah yang terdahulu. Kecintaan serta keghairahan mereka untuk menegakkan kebenaran itu membawa mereka terjerumus ke dalam kebatilan sehingga mereka sanggup mengkufurkan orang Islam dengan sebab melakukan maksiat ataupun mereka kekal di dalam nereka kerana maksiat tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Muktazilah.
Golongan Khawarij mengkafirkan mereka yang melakukan maksiat dan menganggap mereka kekal di dalam neraka. Manakala golongan Muktazilah pula bersetuju dengan mereka pada kesudahan mereka, bahawa mereka kekal di dalam neraka. Tetapi mereka mengatakan bahawa di dunia mereka berada pada satu tingkat di antara dua tingkat. Semua itu merupakan kesesatan. Sebenarnya pendapat Ahli Sunnah lebih tepat, iaitu mereka yang melakukan maksiat tidak jatuh kufur selagi mana ia tidak menghalalkannya.
Apabila ia berzina, ia tidak kufur, begitu juga jika ia mencuri atau minum arak. Tetapi ia dianggap melakukan maksiat lemah imannya serta fasiq. Ia mesti dihukum dengan hukum hudud. Ia tidak jatuh kufur kecuali jika ia menghalalkan perbuatan maksiat tersebut dan berkata: "Perbuatan itu halal."
Apa yang dikatakan oleh golongan Khawarij itu merupakan batil, begitu juga dengan perbuatan mereka mengkafirkan manusia. Oleh itu, golongan seperti mereka inilah dikatakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai:
Maksudnya: "Mereka keluar daripada ajaran Islam dan tidak kembali kepadanya."
Mereka memerangi golongan Islam tetapi membiarkan penyembah berhala. Inilah keadaan golongan Khawarij dengan sebab sifat melampau, kejahilan serta kesesatan mereka. Tidak sepatutnya ajaran golongan Khawarij dan Muktazilah tadi manjadi ikutan.
Bahkan mereka wajib mengikuti landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berdasarkan dalil syarak iaitu nas al-Quran dan hadis sebagaimana ia diturunkan. Tidak sepatutnya mereka menderhakai pemerintah hanya dengan sebab kemaksiatan yang dilakukannya. Bahkan menjadi tugas mereka untuk menasihati pemerintah tersebut sama ada secara lisan ataupun bertulis dengan cara yang baik serta berhikmah dan dengan perdebatan yang bermanfaat sehingga mereka berjaya, sehinggalah keburukan tadi hilang atau berkurangan, dan timbulnya kebaikan sebagaimana firman Allah Ta'ala:
Maksudnya: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Surah Ali 'Imran: 159)
2. Fatwa Syeikh Muhammad Ibn Shalih Al-'Utsaimin
Soalan 1:
Terdapat kemusykilan dikalangan pemuda Islam tentang cara untuk berhadapan dengan kemungkaran yang bertebaran di banyak negara Islam. Adakah mereka patut menghadapinya dengan cara yang kasar sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir pemuda, ataupun berhadapan dengannya dengan cara yang lain tetapi tidak mendatangkan hasil, terutamannya apabila negara tersebut tidak mengamalkan hukum dan syariat Allah seperti yang sepatutnya. Apakah nasihat tuan kepada mereka?
Jawapan:
Saya berpendapat bahawa mereka sepatutnya menerangkan Islam yang sebenarnya meliputi bidang aqidah, amalan ibadat serta akhlak. Sepatutnya mereka tidak menyerang golongan tersebut sehingga membuatkan mereka lari. Pada pendangan saya jika Islam dipersembahkan dengan cara yang sebaiknya, fitrah manusia tentu akan menerimanya, walaubagaimana sekalipun keadaan mereka kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah manusia yang suci. Sebaliknya perbuatan mencela sejarah silam nenek moyangnya, menjadikan mereka lari dan benci terhadap dakwah yang benar itu. Allah Ta'ala berfirman:
Maksudnya: "Janganlah kamu mencela mereka yang menyembah selain daripada Allah. Akibatnya mereka akan mencela Allah secara liar tanpa sebarang pengetahuan. Dan begitulah kami hiaskan bagi setiap umat itu amalan mereka." (Surah Al-An'aam: 108)
Oleh itu, aku berpendapat, bagi saudaraku para pendakwah dalam masyarakat sebarang begini supaya mengambil berat dalam menerangkan kebenaran dan kebatilan seperti asalnya tanpa mencemuh secara langsung amalan mereka.
Soalan 2:
Apakah hukumnya mengadakan mogok bekerja dengan tujuan untuk menjatuhkan sistem sekular yang sedang dilaksanakan dalam sesebuah negara Islam, dan apakah hukum memprotes seperti mana dalam hadis mengenai seorang yang disakiti oleh jirannya, lantas ia mengadu kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, kemudian ia mengeluarkan barangan rumahnya di halaman (sebagaimana tanda protes).
Jawapan:
Soalan ini sebenarnya membahayakan pemudi-pemudi islam kerana mogok bekerja tidak digariskan oleh syarak. Persoalan ini juga sebenarnya membawa kemudaratan yang lebih besar sungguhpun perkara yang dikemukakan agak penting. Tidak dinafikan bahawa perkara ini boleh memberi tekanan kepada kerajaan yang memerintah. Namun perkara yang penting di sini ialah menjatuhkan sistem sekular. Justeru, perlu disahkan terlebih dahulu bahawa sistem yang sedia terpakai itu ialah sistem sekular. Sekiranya telah disahkan perkara tersebut, hendaklah kita ketahui bahawa tidak harus bagi kita mengingkari pemerintah melainkan dengan syarat-syarat tertentu sepertimana yang telah dijelaskan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
Hadis daripada Ubadah bin Samit radiallahu 'anhu:
"Kami telah memberi baiah untuk taat setia kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara yang kami suka ataupun yang kami tidak suka, kegembiraan kami ataupun kedudukan kami dan mendahului baginda daripada diri-diri kami dan bahawa kami tidak bantah arahan ahlinya, sabdanya: "Melainkan sekiranya engkau melihat kekufuran yang nyata berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Allah."
- Syarat yang pertama: Hendaklah engkau mengetahui dengan yakin bahawa pemerintah telah melakukan kekufuran.
- Syarat yang kedua: Hendaklah pemerintah telah melakukan kekufuran, sekiranya dia telah melakukan kefasiqan maka tidak harus keluar daripada pemerintahannya.
- Syarat yang ketiga: Hendaklah kekufuran itu kekufuran yang nyata, tiada keraguan serta tidak boleh ditakwilkan.
- Syarat yang keempat: Hendaklah kekufuran itu dibuktikan dengan nas yang pasti, sama ada daripada al-Quran, sunnah atau ijmak.
- Syarat yang kelima: Hendaklah pihak yang menentang kerajaan mempunyai kekuatan yang secukupnya untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Jika perkara yang sebaliknya berlaku, akan berlakulah kemudaratan yang lebih besar. Oleh itu, hendaklah mereka terus berdiam diri di bawah kerajaan yang memerintah di samping memperkukuhkan kekuatan untuk menegakkan agama Islam.
Demikianlah lima syarat yang mesti dipenuhi untuk menjatuhkan sistem sekular dalam sesebuah negara. Sekiranya mogok bekerja dilakukan selepas kelima-lima syarat di atas dipenuhi, maka tidak menjadi kesalahan untuk menjatuhkan kerajaan sekular yang memerintah. Sebaliknya, jika salah satu syarat yang telah disebutkan tadi tidak dipenuhi, maka tidak harus diadakan mogok bekerja dan tidak harus menjatuhkan sistem yang sedia terpakai.
3. Fatwa Syeikh Shalih Fauzan Al-Fauzan
Soalan 1:
Apa yang berlaku dalam sesetengah masyarakat ilmuwan Islam hari ini ialah tersebarnya pengaruh fahaman sesat puak Khawarij dan Muktazilah, ada antara mereka yang mengkafirkan pihak lain serta membenarkan kekerasan terhadap umat Islam, apa pendapat anda dalam hal ini?
Jawapan:
Ini suatu dasar yang salah kerana Islam melarang kita menggunakan kekerasan (keganasan) dalam berdakwah. Allah berfirman:
Maksudnya: "Serulah ke jalan Tuhan-Mu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (Surah An-Nahl: 125)
Allah berfirman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimassalam apabila berdepan dengan Fir'aun:
Maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha: 44)
Kekerasan akan dibalas dengan kekerasan dan ia tidak akan memberi manfaat, malah yang sebaliknya akan berlaku. Ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada umat Islam.
Dakwah perlu dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, dengan cara yang terbaik serta dengan mendekati orang yang didakwah. Penggunaan kekerasan dan paksaan tidak terdapat dalam teknik penyampaian dakwah. Maka wajiblah umat Islam mengikut sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan panduan al-Quran dalam menyampaikan dakwah.
Isu "takfir" (mengkafirkan orang lain) ada kaitannya dengan syarak. Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah menjelaskan sebab-sebab yang boleh menjadikan seseorang itu kafir dengan bukti yang jelas.
Soalan 2:
Amat dikesali, di sana ada yang mengharuskan kederhakaan kepada sesebuah kerajaan tanpa sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, apakah dasar yang harus kami ikuti apabila berurusan dengan pemerintah Islam dan pemerintah bukan Islam?
Jawapan:
Pemerintah Islam wajib ditaati dan dipetuhi. Allah Ta’ala berfirman:
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa': 59)
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pula menyebut dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah dan mentaati pemimpin kamu, sesungguhnya barangsiapa yang hidup selepas kamu akan melihat banyak perpecahan (perselisihan), maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin selepasku, berpegang teguhlah kamu dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham (jangan lepaskan ia).”
Hadis ini menepati ayat yang sebelumnya. Dalam hadis yang lain, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi dengan maksudnya:
“Barangsiapa yang mentaati pemerintah, sesungguhnya ia telah mentaati aku, barangsiapa yang mengingkari pemerintah, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.”
Terdapat juga hadis-hadis lain yang menuntut kita agar mentaati pemerintah antaranya ialah:
“Dengar dan taatlah walaupun hartamu dirampas dan dipukul belakangmu.”
Pemerintah Islam wajib ditaati selagi mana ia mentaati perintah Allah. Sekiranya dia menyuruh maksiat, maka dia tidak perlu ditaati (maksiat tersebut).
Adapun berurusan dengan pemerintah yang bukan Islam berbeza mengikut keadaan-keadaan yang tertentu. Sekiranya orang Islam mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk memeranginya, maka ia perlu ditumbangkan, kemudian pemerintah Islam perlu dilantik. Ini dianggap sebagai usaha jihad di jalan Allah.
Sebaliknya, jika orang Islam tidak mampu menumbangkannya, maka tidak harus menentangnya kerana ia akan lebih memudaratkan dan melemahkan umat Islam.
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berada di Makkah selama 13 tahun selepas pelantikannya sebagai Rasul dan Makkah pada waktu itu di bawah pemerintah orang kafir. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sahabat-sahabatnya tidak memberontak dan tidak memerangi orang kafir pada waktu itu. Peperangan tidak dibenarkan melainkan selepas hijrah Nabi ke Madinah, selepas terbentuknya daulah Islamiyyah dan jemaah Islam yang berupaya memerangi orang kafir. Inilah dasar Islam.
Orang Islam perlu berpegang dengan agama Islam dan mempertahankan akidah mereka jika mereka berada di bawah pemerintahan bukan Islam yang tidak mampu ditumpaskannya. Mereka tidak perlu membahayakan diri mereka dengan menentang orang kafir kerana ia akan melemahkan gerakan dakwah. Jika mereka telah mempunyai kekuatan untuk berjihad, mereka perlu berjuang di jalan Allah mengiku landasan syariah.
Soalan 3:
Terdapat juga dalam kalangan pelajar yang mengambil mudah dengan mengatakan seseorang Muslim itu murtad. Ada juga yang mengajak orang lain melaksanaan hukumuan hudud ke atas orang yang murtad apabila sultan tidak melaksanaankan hukuman hudud tersebut?
Jawapan:
Melaksanakan hukum hudud adalah sesuatu yang baik bagi pemerintahan Islam. Tetapi tidak semua orang boleh melaksanakannya kerana mungkin akan tercetus huru-hara, pemberontakan, fitnah dan perpecahan dalam masyarakat. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Maafkanlah kesalahan hudud di antara kamu, apabila telah sampai kes hudud kepada sultan, maka Allah akan melaknati penerima sogokan dan pemberi sogokan (orang yang cuba menggagalkan pelaksanaannya).”
Antara tugas-tugas pemerintah dalam Islam ialah melaksanakan hukuman hudud apabila telah sabit mengikuti syariat dalam mahkamah akan kesalahan orang yang melakukan jenayah seperti kesalahan murtad, mencuri dan sebagainya.
Kesimpulannya, pelaksanaan hudud adalah budi bicara pemerintahan, sekiranya tidak berlaku maka cukuplah dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah, pengajaran yang baik dan berhujah dengan cara yang terbaik. Dalam hal ini, tidak harus bagi individu untuk melaksanakan hudud kerana ia akan menimbulkan huru-hara, fitnah dan pemberontakan. Ia juga akan lebih membawa kemusnahan daripada kebaikan. Antara kaedah-kaedah syarak ialah: “Kejahatan (kerosakan) lebih utama dihindarkan untuk mendapatkan kebaikan.”
Selesai nukilan fatwa-fatwa ulama.
*Fatwa-fatwa di atas di ambil dari buku “Sistem Politik Islam Menurut Pandangan Al-Quran, Al-Hadis dan Pendapat Ulama Salaf,” Karya Khalid Ali Muhammad Al-‘Anbariy, Terbitan Telaga Biru, Rujuk Lampiran; Fatwa Samahatus Syeikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Ibn Baaz, no: 1 & 2. Fatwa Syeikh Muhammad Ibn Shalih Al-'Utsaimin, no: 1 & 7. Fatwa Syeikh Shalih Fauzan Al-Fauzan, no: 6, 8 & 11. Judul Asli: Fiqh As-Siyasah Asy-Syar’iyyah Fii Dhaw`i Al-Qur’an wa As-Sunnah wa Aqwal Salaf Al-Ummah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan