Pengikut

atas

Ahad, 24 Julai 2011

BERSIHkan Lidah, PATRIOTkanlah Hati

sini.. sini.....


9 Julai, tarikh telah ditetapkan, satu perhimpunan besar menggemparkan negara. Impaknya benar terasa, dari realiti, hingga menjengah ke alam maya. Tidak kisah siapa yang menyokong atau tidak, bicara bibir, taipan jari-jemari telah menjelaskan segalanya. Itulah, demonstrasi BERSIH.

Aku tidak kisah, kamu mahu sokong siapa sekalipun, yang BERSIH, yang anti-BERSIH, masing-masing ada pendapat sendiri. Malah sudah keluar pelbagai dalil untuk menguatkan hujah, tapi, lidah yang mengucapkan ayat al-quran, menuturkan sabda nabi, tapi langsung berkata-kata buruk.

Yang bodoh, yang bangang, pencacai, anjing, segala macam gelaran keluar. Belum lagi keji caci maki, apatah lagi sikap mengapi-api. Banyak mendambakan kebenaran hujah mereka, tetapi kebenaran itu diselangi keburukan berbicara.

Kenapa langsung tidak boleh berkata-kata baik? Kenapa tidak memBERSIHkan lidah anda? Kenapa tidak PATRIOTkan hati dengan Islam dan iman?

Kamu tahu Islam menganjurkan kata-kata yang baik, kamu tahu Islam tidak menyuruh kamu memburuk-burukkan orang.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat : 11)

Itu baru sebahagian dari terjemahan surah Al-Hujurat. Tapi, bila dibaca dari ayat pertama surah ini, hingga akhir, maka kamu ketahui bahawa surah ini menganjurkan perpaduan selain berbicara tentang iman, demikian antara hikmah yang terkandung dalam surah Hujurat.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Lihatlah kata-kata kamu sebelum menuturkannya, apa yang aku lihat, kebanyakkan lebih suka berbicara mengenai kejadian, kenapa tiada berbicara mengenai hikmah kejadian?


Aku lebih suka mengambil sikap 4 Imam Mazhab apabila berhadapan dengan pemimpin zalim. Pemimpin yang mereka hadapi bukan sembarangan, malah bersikap kejam terhadap ulama. Sehingga membunuh! Apa mereka buat?



Samada mereka menasihati pemimpin tersebut secara personal, ataupun lebih suka mengambil sikap mendiamkan diri. Paling kurang, mereka apabila diajukan pertanyaan tentang keburukan pemimpin tersebut, mereka berdiam diri. Sebab mereka tahu, pengaruh mereka besar, pasti boleh menimbulkan perpecahan besar dikalangan umat Islam.

Biarpun mereka tidak suka dengan pemimpin tersebut, tapi mereka tidak memburukkannya. Malah jika ada kebaikan, dikatakan kebaikan tersebut. Namun, apabila diperintahkan melakukan sesuatu yang mungkar, mereka sanggup mati dari melakukannya!

Aku tahu, bila berkata tentang politik, maka tidak akan lepas dari memburuk-burukkan, memberi gelaran tidak elok, dan kemudian yang memberi pendapat, pasti akan terikut juga gaya si penulis, belum lagi yang menentang.

Terpulang pada kita, untuk jadi batu api, atau berkata buruk, tapi, ingatlah, Islam sesuatu yang baik, maka carilah hikmah dalam Islam.

Dan ingat juga, ideologi politik memang berbeza, tapi akidah kita tetap sama, Islam. Sedangkan 4 mazhab itu berbeza, namun yang bezanya ideologi fiqh, namun tetap berlandaskan al-Quran dan sunnah. Yang pasti, akidah mereka Islam, dan sunnah wal jamaah.

Ingatlah, dengan berkata-kata baik, dapat menyelamatkan diri dari terjerumus dalam lembah syaitan. Sedangkan berkata-kata buruk, tanda api syaitan menyala untuk disimbah ke muka kita. Renung-renungkan, dan selamat beramal. 8)



Ini cuma gambar hiasan. Korang jgn buat tau. Berdosa menukar anugerah Allah tau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan